JUN 2022

Kuasa Ruang Udara Jana Pendapatan Kepada Sarawak : Abang Johari


MATU: Kerajaan Sarawak meminda Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah 2022 baru-baru ini bagi memanfaatkan kuasa terhadap ruang udara di atas tanahnya sendiri berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ianya merupakan sumber pendapatan tambahan Sarawak selain hasil daripada minyak dan gas.

“Saya pinda undang-undang kanun tanah baru-baru ini kerana dalam undang-undang tanah kita, kita tidak tahu siapa empunya ruang udara atas tanah.

“Merujuk undang-undang antarabangsa, tanah sesebuah negeri, atasnya adalah kepunyaan negeri itu sendiri.

“Jadi, bermakna ruang udara kita di atas tanah Sarawak adalah kepunyaan orang Sarawak.

“Siapa yang ingin melaluinya perlu bayar... Maka itu adalah satu daripada sumber pendapatan kita selain daripada hasil-hasil minyak dan gas kita,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Matu 2022 bertempat di Dataran Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) pada Rabu.

Sejurus selesai majlis penangguhan Pesta Matu, Premier Sarawak kemudiannya menyempurnakan majlis pecah tanah Masjid Kuala Matu dan membuat tinjauan mesra terhadap beberapa projek pembinaan benteng hakisan pantai Kuala Matu yang sedang giat dijalankan di kawasan Matu.

Sumber dari : Sarawakku